hover animation preload

Prihatinkah kita?
by Anonymous in



Earth Hour


Hampir sebulan yang lalu iaitu pada 28 Mac 2009, Malaysia telah bergabung tenaga dalam menyokong kempen Earth Hour dengan menutup lampu selama satu jam, bermula 8.30pm hingga 9.30pm.

Earth Hour merupakan acara tahunan yang diadakan oleh Tabung Alam Sedunia WWF, disambut pada hari Sabtu terakhir pada bulan Mac, yang mahukan kediaman dan pejabat untuk mematikan lampu yang tidak digunakan dan peralatan elektrik yang tidak digunakan selama satu jam untuk membangkitkan kesedaran ke atas perubahan iklim. Dikendalikan oleh WWF Australia dan Sydney Morning Herald pada 2007,dan mendapat sokongan dunia pada 2008.

Tujuan utama Earth Hour adalah menimbulkan kesedaran terhadap masalah perubahan iklim dan “mengaspirasikan bahawa aksi setiap orang dalam skala besar dapat membantu mengubah planet ini menjadi lebih baik.” dan bukan mengenai pengurangan tenaga secara spesifik yang dibuat selama jam itu yang diberikan.

Justeru, bagaimana? Adakah ia terkesan pada diri anda? Pada saya, ya. Saya kembali tersedar tentang keadaan bumi yang makin parah ini.

Menutup lampu itu pada saya sekadar satu simbolik. Bagi mereka yang baru tersedar oleh kempen Earth Hour ini, atau telah lama tersedar akan perubahan iklim semasa, mari kita teruskan usaha pemulihan/ pengurangan kesan pemanasan global ini.

Menutup lampu yang tidak diguna/ tidak perlu haruslah diteruskan, bukan hanya pada tanggal 28 Mac sahaja. Teruskan sampai bila-bila. Walaubagaimanapun, saya lebih suka sekiranya penjimatan dibuat bukan hanya dengan menutup lampu, sebaliknya menutup peralatan elektrik lain yang membawa impak lebih negatif kepada masyarakat. Contohnya televisyen atau lebih popular dengan panggilan TV. Apa kata jika setiap kali rancangan realiti TV yang entah apa-apa disiarkan, kita tutup TV (tentu sudah ada yang buat). Atau, setiap kali masuk waktu solat, tutup TV selama setengah jam. Lima waktu solat, kita boleh jimat elektrik (TV) selama dua jam setengah. Pengaruh negatif pun dapat dikurangkan walaupun mungkin hanya 0.099 peratus. Ibu bapa mainkan peranan. Setengah jam TV ‘direhatkan’, bawa/ suruh/ galakkan anak-anak ke masjid (bagi yang lelaki). Masjid sekarang ‘kosong’ dengan pemuda. Kembalikan pemuda ke masjid.


Tingkatkan keprihatinan dan kepedulian kita



Menurut apa yang saya dapat melalui wikipedia, hanya 3 /10 rakyat Malaysia yang prihatin kepada isu-isu alam sekitar. Di mana agaknya letaknya kita? Minoriti atau majoriti? Sama-sama kita bermuhasabah.

Sebenarnya, terlalu banyak perkara yang menuntut keprihatinan kita. Isu Palestin, isu umat Islam sedunia (selatan Thailand, Afghanistan dll), gejala sosial yang berleluasa, dan lain-lain sangat menuntut keprihatinan dan tindakan kita. Sangatlah tidak wajar sekiranya kita lebih peka dengan isu hiburan, cinta atau masalah politik yang tak habis-habis berbanding isu-isu ini. Tingkatkan keprihatinan kita. Tingkatkan kepedulian terhadap isu-isu ini.



Mama Shin Chan pun pandai..



Dalam menjimatkan tenaga elektrik yang digunakan sehari-hari, sebaiknya ia dilaksanakan dengan bijak. Janganlah sampai menyusahkan diri. Jimatkanlah pada perkara yang tidak perlu. Contohnya, jika anda di dapur, janganlah dibiarkan terbuka lampu di bilik. Jika anda ingin tidur, janganlah dibiarkan TV, komputer dan segalanya yang tak perlu terbuka. Tetapi janganlah pula anda ingin membaca buku pada waktu malam, tetapi tidak menggunakan lampu (hanya lilin) kerana kononnya ingin menjimatkan tenaga.

Apa yang dipaparkan dalam kisah Shin Chan itu, sebaiknya difikirkan sendiri bak kata Nabil, “Lu fikirlah sendiri…”

Ini soal kita, bukan mereka.

“Alah, depa tu hipokrit. Buat kempen anti rokok…tapi jual rokok. kempen anti rasuah…tapi sapu rasuah. kempen selamatkan dunia tapi depa dok menjahanamkan dunia dengan ujian nuklear dan sebagainya.kempen bersatu padu walhal mereka berkelahi.”

Kata-kata di atas mungkin sahaja sering terjerat di minda sesetengah dari kita. (kata-kata itu sebenarnya merupakan respon yang saya ambil dari satu blog dengan sedikit pengubahsuaian). Berhubung perkara ini, respon saya adalah: Ini tentang KITA, bukan tentang MEREKA. Mereka jual rokok, kita jangan beli rokok (merokok lagi la jangan). Mereka nak beri rasuah, kita jangan ambil rasuah. Yang mana baik dari mereka, kita ambil. Yang mana buruk, kita tolak jauh-jauh. Peribahasa Melayu sendiri ada mengatakan, “Buang yang keruh, ambil yang jernih”. Apabila mereka berkempen anti rokok, kita sahutlah seruan itu. Tentu bersebab kenapa rokok masih dijual.

Saya tidak mahu berbicara tentang sebab perkara ini berlaku kerana saya sendiri tidak tahu/ kurang jelas. Tetapi, tujuan saya memetik respon tersebut adalah semata-mata untuk menyeru semua orang agar menyahut juga seruan mereka yang menjurus ke arah kebaikan, walaupun mungkin mereka sendiri tidak mengamalkannya. Pegangan mereka terhadap apa yang mereka katakan/ kempenkan seharusnya menjadi perkara kedua/ sampingan dan tidak perlu dibicara atau dipanjangkan.

Pembazir itu saudara syaitan

Firman Allah SWT dalam kitab al-Aziz,
“Dan berikanlah kepada kaum kerabat haknya masing-masing dan kepada orang miskin dan musafir dan jangan engkau membazir dengan pembaziran yang besar. Sesungguhnya orang yang membazir itu, adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat ingkar akan Tuhannya.” (al-Israk, 17: 26-27)
Sebenarnya masih terlalu banyak yang perlu saya kaji dan pelajari berkenaan isu ini. Tidaklah layak bagi saya untuk berbicara panjang tentang perkara yang sendiri kurang jelas. Tujuan penulisan kali ini sekadar ingin menyeru orang ramai agar sama-sama jimatkan tenaga yang menyumbang kepada pemanasan global, sama-sama menjaga alam sekitar daripada terus terjejas, terus binasa dek angkara manusia.

Di sini saya serta beberapa link yang sempat saya tinjau berkenaan isu ini. Semoga bermanfaat.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Earth_Hour
http://ms.wikipedia.org/wiki/Pemanasan_global
http://mohfir.blog.friendster.com/2007/11/pemanasan-global-kesan-kepada-kita/
http://kenali-geografi.blogspot.com/2009/02/kesan-pemanasan-global.html

Akhir sekali, saya menyeru pembaca sekalian dan diri saya agar sentiasa berjimat cermat dalam kehidupan. Bukan sekadar dalam penggunaan elektrik, tetapi segalanya yang mampu dijimatkan.

Gunakan bekalan air dan elektrik sekadarnya. Jimatkan tenaga elektrik semampu mungkin. Berbelanja pada perkara yang penting sahaja. Isi masa dengan perkara kebaikan. Sayangilah alam sekitar. Semoga bermanfaat untuk semua.#

(Perihal Earth Hour bersumberkan wikipedia)

najaf_jb@yahoo.com
10.20am, 26 April 2009.
Comments (0)

Tokoh: Syeikh Abu Bakar al-Baqir
by Anonymous in

Inilah tempat tadahan ilmu saya selama 5 tahun. Terima kasih cikgu.


SMK Abu Bakar al-Baqir yang terletak di Sungai Gedong Bagan Serai, Perak merupakan tempat saya menadah ilmu selama 5 tahun dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Di sinilah saya kenal Geografi, di sinilah saya terpupuk minat dengan subjek Kimia, di sini saya bertemu guru-guru yang berdedikasi dan di sinilah juga saya berkenalan dengan sahabat-sahabat yang dirindu.


Nama Abu Bakar al-Baqir diambil dari nama seorang tokoh agama di situ. Di sini saya letakkan sedikit biografi tentang riwayat hidup beliau buat tatapan bersama yang dipetik dari buku “Tokoh-tokoh Agama dan Kemerdekaan di Alam Melayu”, tulisan Tajuddin Saman dan Abd.Manaf Haji Ahmad.


Syeikh Abu Bakar al-Baqir berasal dari jajahan Kendal, Jawa Tengah. Datuknya, Haji Abdul Jabar merantau ke Tanah Melayu dan menetap di Gunung Semanggol pada pertengahan abad ke-19. Sebelum ke Gunung Semanggol, Haji Abdul Jabar tinggal di Kelang, Selangor dan berpindah ke Kuala Kurau, Perak. Beliau meninggalkan tanah pusaka yang agak luas kepada anaknya Mohd.Said, iaitu bapa kepada Syeikh Abu Bakar. Allahyarham Mohd.Said pula amat mementingkan pendidikan agama kepada tiga orang anak lelakinya, iaitu Muhaiyuddin, Abu Bakar dan Abdullah serta anak perempuannya, Aishah, Saudah dan Hafsah.


Pendidikan


Syeikh Abu Bakar lahir di Gunung Semanggol, Bagan Serai pada tahun 1907. Pada usia enam tahun, anak kelima daripada enam beradik itu belajar hingga darjah lima (tertinggi) di Sekolah Melayu Semanggol serta mempelajari fardhu ain dan al-Quran. Sesudah itu, beliau memasuki Madrasah al-Rahmaniah yang diasaskan oleh Haji Abdul Rahman Mahmud, bekas penuntut Universiti al-Azhar dan Masjid al-Haram, Makkah selama 15 tahun. Syeikh Abu Bakar belajar di pondok itu selama enam tahun, iaitu pada tahun 1919 hingga 1924. Antara yang dipelajarinya ialah ilmu Fiqh, Tauhid, Tafsir al-Quran dan Hadis serta Tatabahasa Arab.


Seterusnya, beliau menuntut selama enam tahun di Madrasah Dairat al-Ma’arif al-Wataniah, Kepala Batas Seberang Prai Utara. Di sini, Syeikh Abu Bakar diasuh oleh Allahyarham Haji Abdullah Pak Him yang berpengetahuan luas dalam ilmu hadis, tafsir dan Bahasa Arab.


Di pondok itu…


Di pondok berkenaan, Syeikh Abu Bakar dilantik sebagai ketua mentelaah. Mengikut tradisi, jawatan itu akan disandang oleh mereka yang telah mencapai tahap kelayakan akademik yang tertentu sahaja. Pelantikan itu juga menunjukkan pengiktirafan Tok Guru Haji Abdullah Pak Him terhadapnya. Pelantikan itu telah mendorong Syeikh Abu Bakar memulakan karier sebagai pendidik. Usaha beliau itu telah direstui serta mendapat galakan oleh gurunya. Beliau bersama dengan beberapa orang sahabatnya telah menubuhkan unit pengajian Kanzul Maarif di pondok tersebut. Selain pelajaran biasa, mereka dilihat berbincang dan berdebat dalam unit itu pada setiap malam Jumaat.


Pada tahun 1918 hingga 1938, Haji Abdullah Pak Him dan Syeikh Abu Bakar telah berpindah ke Madrasah Idrisiah kerana menerima jemputan Almarhum Sultan Iskandar Syah. Selama tiga tahun, iaitu tahun 1931 hingga 1933 di Idrisiah, beliau telah melakukan dua pekerjaan. Beliau menjadi murid separuh masa pertama dan pada separuh masa kedua menjadi guru. Beliau menerima gaji sebagai seorang guru sebanyak RM30.00 sebulan. Pada tahun 1934, beliau meletakkan jawatan dan kembali ke Gunung Semanggol.


Sekembalinya ke Gunung Semanggol..


Kepulangannya dikatakan kerana dijemput guru pertamanya, Haji Abdul Rahman menubuhkan sekolah agama bagi menggantikan pondok al-Rahmaniah, di kampungnya. Akhirnya terbinalah Maahad al-Ehya al-Syarif (MAEAS) di Gunung Semanggol. Pondok yang diasaskan oleh beliau ini menjadi sebutan dan idaman pemuda pemudi Islam pada ketika itu. Pondok itu dianggap oleh sebilangan besar umat Islam di Tanah Melayu sebagai sebuah sekolah agama yang sangat berjasa. Malah, pondok tersebut melahirkan ramai pemimpin Islam berwibawa termasuk Datuk Haji Muhammad Asri Muda, bekas presiden parti Islam se-Malaya (PAS) dan bekas presiden Hamim.


Lima jenis mata pelajaran telah diajar di pondok itu, iaitu Ilmu Teras (Tauhid, Tasawuf, Tafsir, dan Hadis); Ilmu Alat (Nahu Arab, Saraf, dan Balaghah); Ilmu Pelengkap (Sejarah Islam), Mantik, Ilmu Hisab, Geografi, Tatanegara, Sejarah Umum, Pidato Umum, Seni Khat dan Ilmu Pertukangan (pelajar putera sahaja).

Pada tahun 1935, Syeikh Abu Bakar al-Baqir mendirikan rumah tangga dengan Fatimah Abdul Rahman. Mereka dikurniakan dengan tujuh orang anak.


Syeikh Abu Bakar bukan sekadar tokoh pendidikan tempatan tetapi pernah dilantik sebagai Pengerusi Badan Kebajikan dan Pelajaran, Majlis Agama Tertinggi Malaya (Mata). Bermula dari situlah beliau telah merangka dasar pendidikan nasional. Dalam persidangan di MAEAS 15 November 1947, beliau yang dibantu oleh Abdul al-Rabb al-Tamimi, berjaya membentuk Lembaga Pendidikan Rakyat (Lepir). Antara tujuan Lepir ditubuhkan adalah untuk menyeragamkan kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat di Malaya. Bagi mencapai matlamat itu, sebuah pusat pendidikan sekolah rakyat ditubuhkan dan dikelolakan oleh Syeikh Haji Zubir Haji Ahamad yang kemudiannya digantikan oleh Abdul al-Rabb.


Persatuan al-Ehya al-Syarif


Dalam kegiatan ekonomi, Syeikh Abu Bakar al-Baqir telah mengetuai Persatuan al-Ehya al-Syarif. Persatuan ini telah didaftarkan di bawah Undang-undang Kompeni dan Syarikat pada tahun 1940. Persatuan al-Ehya al-Syarif masih lagi aktif hingga sekarang. Persatuan ini mengusahakan tiga jenis projek, iaitu kilang padi, stesen pam minyak dan stesen janakuasa elektrik.


Stesen janakuasa elektrik yang dibin apada tahun 1956 itu memberikan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, Bukit Gunung Semanggol dan Kubu Gajah. Kadar bayaran yang dikenakan kepada pengguna-pengguna adalah sebanyak RM1.00 sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad. Selepas itu, stesen janakuasa elektrik diambil alih oleh Lembaga Letrik Negara (kini dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad - TNB). Beliau telah dilantik menjadi Ynag Dipertua persatuan itu hingga meninggal dunia pada tahun 1974.


Pada 20 Mac 1947, seramai 200 orang cerdik pandai, ulama’ Malaya, Indonesia dan Singapura menghadiri persidangan di MAEAS. Persidangan ini telah menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu se-Malaya (Pepermas) dan Majlis Agama Tertinggi se-Malaya (Mata). Satu lagi persidangan di MAEAS pada 13 dan 14 Mac 1948, dihadiri oleh lebih 5000 orang cerdik pandai dan ulama’, termasuk Dr.Burhanuddin al-Helmi berjaya menubuhkan Hizbul Muslimin (Hamim). Nama Hizbul Muslimin ini telah dicadangkan oleh Syeikh Abu Bakar dan beliau juga telah dilantik sebagai ketua.


Walau bagaimanapun pada 29 Julai 1948, pemerintah British telah menahan Syeikh Abu Bakar selama empat tahun bersama Abdul al-Rabb al-Tamimi dan Abdul Rauf Nur. Oleh yang demikian, Hamim pun berkubur.

Mengenang jasa yang tidak ternilai, Syeikh Abu Bakar al-Baqir telah dikurniakan Anugerah Tokoh Guru 1975.


Dipetik dengan sedikit pengubahsuaian dari buku “Tokoh-tokoh Agam adan Kemerdekaan di Alam Melayu”, karangan Tajuddin Saman dan Abd.Manaf Haji Ahmad, terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).


- najaf_jb@yahoo.com

24 April 2009, 1.29am

Comments (0)

Boikot Israel-Sekutu.. jangan sekejap saja
by Anonymous in


Isu Palestin semakin tenggelam. Yang kedengaran di media hanya berita, sekadar pengkhabaran tentang tindakan kejam dan keganasan rejim zionis di Palestin. Tiada tindakan susulan.


Isu Palestin adalah isu ummat Islam seluruh dunia. Isu kita. Tetapi masih ramai yang memandang dengan sebelah mata, seolah-olah tiada kena-mengena dengan kita. Masyarakat sekarang dan media massa nampaknya lebih suka menyibukkan diri dengan perkara-perkara hiburan yang seperti tak berkesudahan seperti perihal Akademi Fantasi;siapa tersingkir? dan isu kahwin-cerai artis Malaysia kerana kononnya ‘itulah isu kita’.


Tarikh 27 Disember 2008 menyaksikan sekali lagi serangan besar-besaran Israel terhadap Palestin di Gaza dan menjadi isu paling hangat ketika itu. Serangan itu menarik perhatian seluruh dunia. Pelbagai tindakan diambil sebagai respon bantahan terhadap tindakan ganas Israel. Tetapi malangnya, semua itu cuma sementara.


Menyedari situasi ini, maka kami mengambil langkah menghulurkan tangan menaikkan kembali isu ini daripada terus tenggelam lebih dalam sebagai tanda pedulinya kami terhadap isu Palestin. Rencana ini yang mengupas isu boikot adalah sebagai salah satu cara untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada semua agar terus memboikot tanpa rasa ragu.


Isu boikot seringkali menjadi pilihan ketika berbicara tentang Palestin. Ada sesetengah pihak meyokong tindakan boikot ini, sebahagiannya pula mengatakan tindakan ini kurang memberi kesan malah ada juga yang menghalang orang ramai dari memboikot dengan alasan ianya akan menjejaskan ekonomi negara sendiri.


Grup Jil Salahuddin al-Ayubi mengambil pendirian untuk memboikot barangan-barangan Israel dan sekutunya yang didapati menyumbang kepada keganasan rejim Zionis terhadap umat Islam di Palestin. Kami menyeru orang ramai agar turut sama terus memboikot barangan-barangan ini sehingga tertegaknya Islam keseluruhannya di bumi ini terutamanya 3 produk ini yang menjadi pilihan grup untuk diboikot secara total, iaitu: Coca cola, Nestle dan Colgate-Palmolive.


Boikot sebagai jihad.


“Apa yang dapat aku sumbangkan untuk umat Islam di Palestin?”

Soalan ini mungkin antara soalan-soalan yang pernah menjengah ke benak fikiran setiap dari kita.

Persoalan tentang sumbangan. Maka, apakah sebenarnya yang dapat kita sumbangkan bagi membantu saudara kita di Palestin?


Kita mungkin tak mampu untuk mengangkat senjata menentang rejim zionis. Kita mungkin belum bersedia mengorbankan nyawa menentang kezaliman. Kita mungkin belum berkeupayaan mencipta peralatan canggih bagi mengatasi si penyangak zionis dan Amerika. Maka, yang termampu ialah dengan berperang menggunakan senjata jihad ekonomi.


Secara umum, hukum jihad ekonomi adalah sama dengan hukum jihad itu sendiri. Ia adalah kefardhuan yang ditentukan oleh syarak dan merupakan keperluan yang dituntut oleh akidah. Jihad ekonomi atau jihad dengan harta ini beberapa kali disebut di dalam al-Quran yang disekalikan dengan jihad nyawa. Antaranya, Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (al-Hujurat,49:15)

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepadamu satu perniagaanyang akkan melepaskan kamu dari seksa yang pedih, iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan dirimu. Itulah yang terlebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” (as-Saff, 61:10-11)

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjuang di jalan Allah dengan harta dan dirinya lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang menang. (At-Taubah, 9:20)

Kisah Burung Pipit dan Nabi Ibrahim


Memetik kisah si burung pipit pada zaman Nabi Ibrahim, ketika baginda dibakar hidup-hidup, si burung kecil ini terbang berulang-alik mengisi air di dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar Nabi Ibrahim. Itulah yang dilakukannya berulangkali. Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu,

“Buat apa kau penat-penat mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim takkan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.”


Lalu dijawab oleh burung tersebut,

“Memang ia tidak akan memadamkan api tersebut, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya samada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak”.

Si burung yang bijak, kerana menyedari hakikat ini bahawa Allah tidak menilai hambaNya pada hasil melainkan pada usaha-usaha yang dilakukan.


Sekalipun pemboikotan ini tidak dapat memberi impak yang besar terhadap ekonomi mereka, sekurang-kurangnya kita berusaha untuk tidak menyumbangkan ‘jasa’ ke atas kematian umat Islam di Palestin.


(Ini bukan soal nak melemahkan, atau melumpuhkan ekonomi mereka semata-mata, tetapi lebih kepada keinginan untuk TIDAK SEKALI-KALI menyumbang kepada kekejaman terhadap saudara kita sendiri.)


Ada turun, ada naik


Usaha boikot yang berterusan akan menyebabkan permintaan terhadap barangan Israel dan Amerika menurun yang mana penurunan itu menyebabkan meningkatnya permintaan terhadap barangan keluaran tempatan. Kalau duhulu Colgate mendapat tempat di hati, kini ubat gigi Mukmin, Halagel, Safi, dan Hilal lebih mendapat perhatian. Kalau duhulu Coca cola menjadi kegemaran, kini Radix Cola, Mecca Cola, ZamZam Cola, Bota Best dan sebagainya menjadi pengganti.


Situasi ini tentu sekali mengurangkan kebimbangan orang ramai terhadap masalah pengangguran kerana permintaan yang tinggi terhadap pasaran akan menyebabkan terbukanya peluang pekerjaan yang baru bagi menampung mereka yang kehilangan pekerjaan disebabkan tekanan boikot ini.


“Boikot barangan Israel-Sekutu” vs “Belilah Barangan Buatan Tempatan”


Bagi mereka yang mungkin kurang senang dengan istilah ‘boikot’, mungkin slogan ‘belilah barangan buatan tempatan’ lebih sesuai untuknya walaupun pada hakikatnya dua perkara itu membawa konsep yang hampir sama. Hal ini kerana apabila kita beriltizam dan istiqamah dalam membeli barangan buatan tempatan, kita sebenarnya telah terboikot barangan Israel-sekutu ini atau memboikot secara tidak langsung. Jadi, persoalan berlaku kejam kepada umat Islam yang bekerja di syarikat-syarikat yang menghasilkan produk Israel dan sekutunya ini tidak timbul lantaran tiada langsung niat untuk memboikot melainkan hanya ingin meningkatkan ekonomi negara dengan membeli produk tempatan. Walaubagaimanapun, seperti yang telah dinyatakan di atas, peluang pekerja yang baru akan terbuka dengan meningkatnya permintaan terhadap barangan tempatan untuk mereka yang telah menjadi ‘mangsa kekejaman’ ekonomi ini.


Empat keutamaan dalam membeli yang perlu diberi perhatian:

1. Muslim tempatan

2. Muslim bukan tempatan

3. Bukan Muslim tempatan

4. Bukan Muslim bukan tempatan (yang tidak menyokong Israel-Amerika)


Keutamaan ini disusun dengan tujuan meningkatkan ekonomi Muslim seluruh dunia bersesuai dengan saranan Dr.Husain Shahatah dalam tulisan beliau tentang ‘Jihad Ekonomi’ yang menggariskan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan dalam jihad ekonomi:

Hendaklah memberi keutamaan kepada barangan tempatan, atau yang dikeluarkan oleh negara-negara Arab dan Islam, atau oleh negara asing yang tidak bermusuh dengan Islam serta orang-orang Islam, dan tidak menyokong Israel.

Sebagai masyarakat dan pengguna yang prihatin, sentiasalah bersikap berhati-hati dalam membeli barangan dengan menggunakan falsafah jihad ekonomi seperti yang dinyatakan oleh Dr. Husain Shahatah tersebut dengan mengutamakan barangan tempatan berbanding barangan negara luar.


Ada sesetengah golongan yang cuba berjinak-jinak dengan amalan ‘membeli barangan tempatan’ atau ‘memboikot barangan Israel-sekutu’ ini merungut, katanya: “Barangan Muslim tempatan lagi mahal la…”.

Firman Allah:


“Sesungguhnya orang-orang kafir membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) daripada jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya, kemudian menjadi penyesalan bagi mereka, kemudian mereka dikalahkan. Dan (ingatlah), orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.” (al-Anfal, 8:36)

Ketika orang-orang kafir sanggup membelanjakan wang dan harta mereka untuk semata-mata untuk memusuhi umat Islam, kenapa kita perlu terlalu berkira untuk menyumbangkan harta kita dalam meningkatkan ekonomi pada mereka yang lebih layak??


Kesimpulannya, boikot bukanlah satu-satunya cara yang dapat dilakukan untuk membantu saudara kita di Palestin, sebaliknya terdapat banyak lagi cara lain yang memerlukan perancangan yang rapi dan tersusun. Usaha memboikot juga perlu dibuat dengan penuh perancangan dan tersusun agar hanya memberikan kerugian paling minimum kepada ekonomi umat Islam dan kerugian paling maksimum kepada pihak musuh. Sekali lagi, kami menyeru orang ramai agar turut serta dalam memboikot barangan-barangan Israel-sekutu ini terutamanya Coca cola, Colgate-Palmolive dan Nestle.


Menyedari kelemahan diri yang tidak dapat memberikan kefahaman sepenuhnya kepada para pembaca berkenaan isu ini, di sini saya sertakan beberapa link yang mungkin boleh menambah kefahaman berhubung perkara ini. Semoga usaha yang sedikit ini mampu mencetuskan rasa mahu untuk melakukan sesuatu yang sewajarnya:

  1. http://www.inminds.co.uk/boycott-israel.php
  2. http://www.muslimconsumer.org.my
  3. http://www.scribd.com/doc/4977038/Jihad-Ekonomi-Husain-Shahatah
  4. http://saifulislam.com/?p=4475
  5. http://razihan85.blogspot.com/2009/01/kenapa-perlu-boikot.html
  6. http://penahijau.wordpress.com/tag/palestin/
  7. http://fauzanibrahim.wordpress.com/2009/01/14/kenapa-perlu-boikot-israel-sekutunya/


Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz: Sesungguhnya syubhah itu pada yang halal.”


Berhati-hatilah dalam membeli, jangan sampai wang kita tersalur ke rancangan jahat Israel dan Amerika untuk memusnahkan dunia Islam.#


-najaf_jb@yahoo.com

Comments (0)