YANG KURIK
KUNDI YANG MERAH SAGA, YANG BAIK BUDI YANG INDAH BAHASA
“Yang kurik kundi yang merah
saga, yang baik budi yang indah bahasa” merupakan antara peribahasa yang mendukung
hidup berbudi dan berbahasa. Budi bahasa
merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tata tertib, akal, kebijaksanaan
serta perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata mulia. Dalam kata
lain, setiap gerak laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan yang
baik terhadap orang lain adalah budi bahasa. Hidup yang berbudi ialah hidup
yang berakhlak.
Gejala sosial yang terjadi dalam
masyarakat kita zaman ini seperti bunuh, rompak, dera, fitnah, rasuah, perang
mulut dan sebagainya adalah kesan daripada ketiadaan budi yang berpunca daripada
ketiadaan akal, ketiadaan kebijaksanaan, serta menularnya
perangai-perangai dan tabiat yang buruk. Sekiranya semua individu, dan kumpulan
dalam masyarakat menghayati hidup berbudi dengan sebenarnya-benarnya, maka
segala malapetaka yang dilakukan oleh tangan manusia ini tidak akan
berlaku.
Memperoleh kefahaman dan
penghayatan tentang budi serta mengamalkannya dalam kehidupan bukanlah mudah.
Maka dari itu, Nabi Muhammad SAW diutuskan antaranya untuk menyempurnakan
akhlak mulia yang merupakan satu misi membawa rahmat ke seluruh alam. Misi ini
haruslah didukung dan diteruskan oleh semua umat Islam yang mengaku menyayangi
dan mencintai Nabi. Menjadi contoh atau
model kepada orang lain dengan memiliki peribadi yang baik merupakan antara
langkah menjalankan misi besar ini.
Maka, Kempen Budi Bahasa Budaya
Kita haruslah disokong dan didukung oleh setiap daripada kita yang bercita-cita
mengikut jejak Nabi Muhammad SAW ke syurga. Perbezaan fahaman politik, bangsa, agama,
status sosio-ekonomi atau apa sekalipun tidak sepatutnya menjadi hambatan
untuk kita menyokong suatu usaha yang baik ini. Semoga dengan adanya usaha dari
setiap pihak, kempen ini akan membuahkan hasil dengan terbentuknya masyarakat
yang harmoni dan sejahtera biarpun.
(Dipetik ilham dari artikel
“Budi Bahasa” oleh Alia Hanis, Scribd - http://www.scribd.com/doc/55885197/ARTIKEL-BUDI-BAHASA)
Petikan Peperiksaan Akhir Tahun 2013 Tingkatan 4 MTAA
Petikan Peperiksaan Akhir Tahun 2013 Tingkatan 4 MTAA
Comments (0)
.jpg)