hover animation preload

Yang Baik Budi Yang Indah Bahasa
by Afifah JB in

YANG KURIK KUNDI YANG MERAH SAGA, YANG BAIK BUDI YANG INDAH BAHASA

“Yang kurik kundi yang merah saga, yang baik budi yang indah bahasa” merupakan antara peribahasa yang mendukung hidup berbudi dan berbahasa.  Budi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tata tertib, akal, kebijaksanaan serta perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata mulia. Dalam kata lain, setiap gerak laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan yang baik terhadap orang lain adalah budi bahasa. Hidup yang berbudi ialah hidup yang berakhlak.
Gejala sosial yang terjadi dalam masyarakat kita zaman ini seperti bunuh, rompak, dera, fitnah, rasuah, perang mulut dan sebagainya adalah kesan daripada ketiadaan budi yang berpunca daripada ketiadaan akal, ketiadaan kebijaksanaan, serta menularnya perangai-perangai dan tabiat yang buruk. Sekiranya semua individu, dan kumpulan dalam masyarakat menghayati hidup berbudi dengan sebenarnya-benarnya, maka segala malapetaka yang dilakukan oleh tangan manusia ini tidak akan berlaku.
Memperoleh kefahaman dan penghayatan tentang budi serta mengamalkannya dalam kehidupan bukanlah mudah. Maka dari itu, Nabi Muhammad SAW diutuskan antaranya untuk menyempurnakan akhlak mulia yang merupakan satu misi membawa rahmat ke seluruh alam. Misi ini haruslah didukung dan diteruskan oleh semua umat Islam yang mengaku menyayangi dan mencintai Nabi.  Menjadi contoh atau model kepada orang lain dengan memiliki peribadi yang baik merupakan antara langkah menjalankan misi besar ini.

Maka, Kempen Budi Bahasa Budaya Kita haruslah disokong dan didukung oleh setiap daripada kita yang bercita-cita mengikut jejak Nabi Muhammad SAW ke syurga. Perbezaan fahaman politik, bangsa, agama, status sosio-ekonomi atau apa sekalipun tidak sepatutnya menjadi hambatan untuk kita menyokong suatu usaha yang baik ini. Semoga dengan adanya usaha dari setiap pihak, kempen ini akan membuahkan hasil dengan terbentuknya masyarakat yang harmoni dan sejahtera biarpun. 


(Dipetik ilham dari artikel “Budi Bahasa” oleh Alia Hanis, Scribd - http://www.scribd.com/doc/55885197/ARTIKEL-BUDI-BAHASA)

Petikan Peperiksaan Akhir Tahun 2013 Tingkatan 4 MTAA

0 comments:

Post a Comment