hover animation preload

Alkisah Moto dan Keta
by Afifah JB in ,

Pada satu zaman yang tak pernah wujud, ada dua buah makhluk bernama Moto dan Keta. Walaupun sudah lama berkenalan, mereka bukanlah sahabat baik,dan bukan juga musuh. 


Pada suatu hari, tuan Moto mahu ke bandar atas urusan yang mustahak. Nak dijadikan cerita, dalam perjalanan ke bandar itu, tiba-tiba hujan turun rintik-rintik mula membasahi permukaan Bumi. Tuan Moto gelisah (sebab tak pakai baju hujan, takut basah) tetapi tetap meneruskan perjalanannya. Setiba di destinasi, tuan Moto terus 'melarikan' diri ke dalam bangunan, meninggalkan Moto sendirian di situ kebasahan tanpa dilindung bumbung.

Tak lama selepas itu, sedang Moto merenung nasib dirinya, Keta datang dan memparkir dirinya di sebelah Moto. Beberapa saat kemudian, tuan Keta seorang gadis muda keluar dengan memegang payung yang berkilau (payung baru belilah katakan...) dan menuju ke bangunan yang sama dengan tuan Moto tadi. Sebelum tuan Keta masuk ke dalam bangunan itu, Moto sempat cemburu tatkala tuan Keta menekan 'klik' demi menjaga keselamatan Keta.

Moto berterusan cemburu. "Alangkah bagusnya kalau aku juga seperti Keta".

Rupa-rupanya tuan Moto melihat situasi itu dari dalam bangunan. Setelah urusan tuan Moto selesai dan hujan berhenti, tuan Moto pun bertanya kepada Moto,
"Moto, kamu mahu jadi seperti Keta?"
"Nak nak..."
"Baiklah. Saya akan jadikan kamu Keta."
"Yeyy"

Moto sangat gembira. Enjin Moto dihidupkan, dan tuan Moto menunggangnya pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang itu, Moto pun memulakan angan-angan.

"Ha, kiranya nanti tuan aku mesti nak hantar aku ke klinik untuk rawatan trasformasi dan doktor tu nanti mesti tanya aku nak jadi macam mana. Tentulah aku nak jadi macam Keta, tapi aku nak jadi Keta apa ya? Kalau boleh tu nak jadi Keta Mercedes tapi tuan aku bukanlah mampu sangat nak bayar bil rawatan yang mahal nanti. Kalau macam tu, baik aku minta jadi Keta Suzuki Swift saja. Tetap menawan. Wahahaha..Tapi sebagai hamba yang baik, aku tak kisahlah jadi macam Keta apa pun. Yang penting, aku nak ada bumbung, ada pintu jadi tuan aku boleh main 'klik-klik' dengan aku, lepas tu ada tempat duduk selesa dan luas yang boleh memuatkan ramai orang, ada tali pinggang keselamatan, ada radio supaya aku pun tak bosan, dan yang paling penting ada air-cond. Doktor tu boleh ubah apa saja yang dia nak ubah, kecuali tangki minyak dan enjin aku. Kalau tukar macam yang Keta punya, habislah duit tuan aku nak kena bayar duit minyak yang mahal nanti. Keta diisi RM5 mana boleh tahan untuk seminggu, aku lain la. Wah, cantikla kalau macam tu..."

Seminggu berikutnya, tuan Moto datang kepada Moto dan memberitahunya bahawa hari itu ialah hari perubahan. Tanpa memahami maksud sebenar tuannya, Moto bersorak kegirangan. "Broom broom," Moto memulakan perjalanan.

Sampai di tempat yang dituju, tuan Moto berjabat mesra dengan seorang lelaki yang ada di situ. Mereka berbual-bual tak lama. Di hujungnya, "Nah, ni kunci Moto seperti yang telah dijanjikan. Saya tukar Moto saya dengan Keta kamu dengan tambahan harga RM3000"
"Terima kasih. Ni pula kunci Keta seperti yang telah dijanjikan juga :)"

Tuan Moto bergerak ke arah Keta Proton Wira yang berada di sebelahnya. Tuannya masuk ke dalam Keta. Enjin dihidupkan. Moto jadi panik. "Tuan, tuan, tuan nak pergi mana tu? Tuan nak tinggalkan saya di sini ke? Kita kan dah lama bersama. Saya sayang tuan. Tuan tak sayang saya ke? Tuan kata nak jadikan saya Keta."

"Kamu kenderaan saya, dan sekarang kenderaan saya ialah Keta. Secara tak langsung, kamu dah jadi Keta. Saya perlukan Keta dan sebenarnya saya perlukan Moto juga. Cuma, kini saya mahu Moto lain. Saya mahu Moto yang takkan minta untuk jadi macam Keta kerana dia faham kelebihan dan fungsinya sebagai Moto. Moto, selain jimat minyak sebagai kelebihan, ia juga boleh berfungsi sebagai kenderaan yang lebih baik di jalan yang sempit. Semua benda, haiwan, manusia atau makhluk lain berbeza-beza sebab fungsi dan peranannya juga berbeza. Kalau kamu jadi 'sebijik' macam Keta, macam mana kamu nak berperanan seperti Moto? Kamu faham tak apa saya cakap ni wahai Moto? Semoga kamu mengambil pelajaran dengan ini. Selamat tinggal."

Moto kelu menyesali kesilapan diri.


- Nurul Afifah bt Jamaludin, 11 Ogos 2011, 9.38PM.

0 comments:

Post a Comment