hover animation preload

Nama: Doa dan Identiti
by Afifah JB in


“Sarimah, tolong ambilkan benda empat segi yang ada banyak benda tulis-tulis di dalamnya tu yang di atas benda empat segi warna kelabu di tepi benda empat segi yang orang boleh buka untuk keluar masuk tu,” si ibu meminta tolong dari anaknya yang sedang baring di atas benda empat segi yang empuk yang orang biasa gunakan untuk tidur.

Sarimah yang kurang mengerti bertanya, “Apa yang ibu cakap ni? Tak fahamlah bu,”

“Maaf, sekadar gurauan di malam hari. Hehe. Baik, ibu translate ye. Sarimah, tolong ambilkan buku yang di atas meja kelabu di tepi pintu tu,” si ibu menamatkan gurauan di malam hari.

Lihat, benda pun penting punya nama; untuk memudahkan kerja, menjimat masa dan tenaga manusia. Nama, biarpun semudah sebutan na-ma, ia bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah oleh para ibu bapa. Nama yang bakal diberikan kepada anak-anak akan digunapakai dan tercatat di sijil kelahiran, kad pengenalan, kad laporan kesihatan, sijil memandu, buku bank, malah juga di sijil kematian, dan di akhirat kelak. Malah, nama yang baik juga penting sebagai satu langkah menjaga kehormatan anak tersayang.

Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa kamu. Maka, perbaikilah nama-nama kamu.” (Sunan Abi Daud)

Entri ini sebetulnya bukanlah mahu membicarakan soal pemilihan nama anak-anak, kerana perkara itu mungkin masih jauh bagi kita yang majoritinya masih ‘bujang senang’. Sebaliknya, entri ini sekadar mahu berkongsi rasa dan membawa kita sama-sama lebih menghayati dan menghargai nama yang kita miliki. Namun, janganlah pula diabaikan persediaan ke arah pembinaan baitul muslim kerana pendidikan anak-anak bermula dari pendidikan diri kita sendiri.

Sejarah nama

Pernahkah kita bertanya kepada ibu bapa kita kenapa kita dinamakan dengan nama yang sedia ada kini? Apa sebabnya? Saya yakin, pasti ada doa dan harapan yang ibu bapa selitkan pada nama kita. Bertanyalah, dengarkan harapan itu terus dari lisan ayahanda dan bonda tercinta.

Apakah tujuan nama? Ibn Qayyim menyatakan bahawa, “sesungguhnya penamaan itu bertujuan untuk mengenali sesuatu dengan namanya. Ini kerana jika sesuatu itu tidak diketahui namanya, maka tidaklah dapat dikenal pasti identitinya.”

Nama memberi identiti. Dengan nama kita boleh membeza antara buku latihan dengan buku teks. Dengan nama juga kita boleh membezakan antara Syafuad dengan Sahal. Jika namanya sama, contoh, kedua-duanya Sharifah, maka unsur pembeza kedua iaitu sifat mengambil tempat.

Kunyah

“Antara Sunnah yang diajarkan kepada kita, adalah Takniyah dalam memanggil anak-anak. Takniyah itu bermaksud memberikan Kun-yah kepada anak-anak dengan memanggil yang lelaki dengan nama Abu atau yang perempuan dengan nama Ummu.” - Saifulislam.com

Menyelak sirah di zaman nabi, kunyah (sebut kun-yah) sering digunakan pada masa tersebut. Kunyah ialah istilah bagi gabungan nama yang didahului oleh perkataan Abu (bapa) atau Umm (ibu). Memanggil seseorang menggunakan kun-yah ialah etika bangsa Arab lama yang dibenarkan oleh Islam, malah ia juga telah diamalkan oleh Nabi SAW dan dikira sebagai sunnah.

Kebiasaannya, seseorang mengabadikan nama (khususnya nama anak sulung) pada kunyahnya. Contohnya seperti Abu Eisya (contoh terdekat). Kalau di zaman Nabi, contoh yang dapat dilihat ialah seperti Nabi Muhammad SAW sendiri yang digelar Abul Qassim bersempena nama anaknya Qassim.

Kunyah tidaklah hanya diharuskan penggunaannya untuk orang yang telah memiliki anak dan tidak juga harus hanya kepada yang telah dewasa, tetapi boleh juga untuk mereka yang lain. Sebagai contoh, Abu Hurairah digelar sedemikian kerana kesukaannya terhadap kucing, Abu Talib digelar Abu Turab dan lain-lain.

Penggunaan kunyah ini merupakan satu bentuk penghormatan kepada individu tersebut, tetapi berlainan pula bagi Abu Lahab. Biarpun Abu Lahab bangga digelar sedemikian (kerana wajahnya putih kemerahan), tetapi Allah menggunakan perkataan Lahab yang bermaksud gelojak api sebagai tanda neraka yang dijanjikan baginya.


Tujuan kunyah ini bukan untuk suka-suka. Antara tujuanya ialah, bagi kanak-kanak, kunyah ini dapat mendorong kesegeraan anak-anak ini menjadi dewasa dan merasa tanggungjawab. Kunyah juga bertindak sebagai panggilan yang memiliki nilai hormat. Andai kita masih digelar Qiqi Lala, Boboi Boy, Mumu, Cotcot atau sebagainya (yang pelik-pelik dan keanak-anakan), harapnya nama itu tidaklah melekat sampai ke tua. Usahakan sesuatu ke arah yang lebih baik.

Kini Peranan Kita

Kita bertuah. Nama kita tergolong dalam nama-nama yang baik. Bukan nama yang jelek, buruk, dan memalukan. Allah SWT sudah cantikkan nama kita, cantikkan juga kejadian rupa kita; tiada cacat cela, sempurna semuanya. Ada tangan, ada kaki, ada hidung, ada kening, ada bulu mata, ada gigi, ada lidah, ada kuku,.... lengkap!
“Ya Allah, sebagaimana Engkau telah mengelokkan kejadianku, maka elokkanlah akhlakku”

Kita bertuah. Kita punya ibu bapa penyayang dan memahami, yang memilih nama yang baik untuk anak-anaknya. Nama yang bukan sekadar untuk sedap didengar, bukan juga sekadar mudah dipanggil tetapi juga nama yang terkandung padanya makna yang baik, menjadi ‘doa’ buat kita hingga ke akhir usia.

Orang yang memiliki nama yang baik, kadang-kadang malu jika mengerjakan suatu keburukan. Dia berusaha agar dapat mengerjakan kebaikan sesuai dengan namanya. Ibn Qayyim menyebut, Jarang kau dapati nama yang buruk kecuali melekat pada orang yang buruk pula. Dan Allah dengan hikmah yang terkandung dalam qadha dan qadarnya memberikan ilham kepada jiwa untuk menetapkan nama sesuai yang punya.”

Ibu bapa telah memilih nama yang baik untuk kita, kini masa kita berperanan untuk menjadi baik (dan lebih baik dari hari ke hari) sesuai dengan nama kita yang baik. Beri identiti yang baik pada nama kita juga. Nama kita baik, tetapi tidak sama sekali yang terbaik.

Nama-nama Terbaik

Nama-nama terbaik adalah hak mutlak Yang Maha Terbaik. 99 nama yang terbaik ini menunjukkan sifat-sifat Allah. Setiap satu nama ini mengandungi makna yang sangat mendalam. Memahami dan menghayati nama-nama Allah ini sangat penting dalam usaha kita untuk meningkatkan iman. Dengan benar-benar memahami dan menghayati nama ini; dengan sepenuh keyakinan yang telah menyerap ke jiwa, seseorang mukmin mampu mencapai tingkatan ihsan dalam beribadah kepada Allah.

Sahabat, lihat, renung, dan fikirkan; bagaimana dalam hari ini sahaja Allah telah ‘taburkan’ sifat Ar-Rahman dan Ar- Rahim-Nya pada kita? Sifat as-Salam, al-Muhaimin-Nya memelihara kita dari pelbagai bahaya. Anggota badan kita masih sempurna. Iman kita dijaga (biarpun turun naiknya selalu melanda).

Ya Allah, jadikanlah kami hamba yang bersyukur Ya Allah...Benarkan kami memandang besar nikmat-Mu yang dipandang kecil manusia lain...Benarkan kami berada di siratul mustaqim.. Ya Allah, pimpinlah kami...

Berkata Ibnul Qayyim, “Maka tidak diragukan lagi bahawa berilmu tentang nama dan sifat-sifat Allah serta perbuatan-Nya adalah seagung-agung ilmu dan semulia-mulianya ilmu. Perbandingannya dengan ilmu-ilmu lain sebagaimana perbandingan antara Allah itu sendiri dengan yang lain-Nya”

Mari, kita hafal, belajar, faham, dan hayati nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya dalam kehidupan.

Doaku untuk kalian….

Che Farhana, semoga dirimu sentiasa riang gembira dan senang.
Zahirah, semoga dirimu sentiasa menzahirkan kebenaran.
Sakinah, semoga dirimu sentiasa tenang dan menenangkan.
Aina, semoga matamu; zahir dan batin sentiasa memandang pada kecantikan.
Afifah, semoga sentiasa dirimu dalam kebaikan.
Aimee, semoga sentiasa dirimu dalam keberkatan.
Kamilatunnisa’, semoga sentiasa kamu menjadi wanita yang sempurna.
Arif Alwan, semoga sentiasa serba-serbi tahu (dan memberitahu).

Dan buat sahabat-sahabat yang lain, semoga nama kalian yang baik menjadi doa buat kalian.
Dengan ‘kuasa nama’ yang ada pada kita ini, mari kita suburkan cita-cita Islam cemerlang, gemilang dan, terbilang.

Rujukan:
  1. http://www.al-adib.net/archives/532
  2. http://www.ilmoe.com/578/memberi-nama-baik-contoh-mengajarkan-agama-seri-kajian-pendidikan-anak.html
  3. http://dzikra.com/mamahami-tauhid/
Nurul Afifah Jamaludin, 22 Ogos 2011, Bagan Serai.

0 comments:

Post a Comment