
"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati, dan sungguh di hari kiamatlah disempurnakan pahala kamu..." (Ali Imran,3: 185)
Satu soalan untuk memuhasabah diri:
"Bila kita ingat mati?"
-bila?emm, entah. tak ingat bila...
-bila ziarah orang meninggal...
-bila tengok accident...
-bila ziarah kubur...
-bila dengar tazkirah pasal mati...
-bila baca sesuatu pasal mati...
-bila kita sakit teruk...
-bila dapat mimpi ngeri, mimpi mati...
-bila tengok drama pasal mati...
-setiap saat dan setiap ketika...
-bila menulis blog pasal mati...
-bila kita rasa macam dah nak mati...
atau bila agaknya?
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Banyakkanlah mengingati sesuatu yang menyebabkan hilangnya semua kelazatan (iaitu mati)"
Takut nak mati...
Saya pernah berhadapan dengan perasaan yang sangat takut, takut nak mati. Manakan tidak, dosa bertimbun-timbun, amal sikit sekali (belum tentu amal yang sedikit ini Allah terima.) Satu hari dulu, saya enggan menunggu bas di perhentian kerana perasaan takut dirempuh kenderaan yang lalu-lalang. Saya bayangkan dirempuh lori. Takut mati di situ, saat itu. Perasaan takut ini hadir dalam diri lepas saya mengalami satu mimpi ngeri, ditambah dengan pelbagai cerita kemalangan di muka akhbar. Saya seperti melarikan diri dari mati saat itu. Saya lupa firman Allah SWT yang bermaksud:
"Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, sesungguhnya ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan(serta membalasnya)". (al-Jumuah, 62:8)Betapapun saya cuba lari darinya, takkan mungkin berjaya kerana MATI ITU PASTI, masa dan tempatnya juga.
Firman Allah lagi,
"...Seseorang tidak mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan seseorang tidak mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mengenal." (Luqman, 31: 34)Berita-berita kemalangan di TV dan akhbar buat saya takut untuk keluar ke mana-mana. Takut jadi mangsa jalanraya. Takut mati. Keluarga keluar, saya tinggal di rumah. Kononnya rumah lebih selamat. Saya lupa lagi, MATI ITU PASTI.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Di mana jua kamu berada, nescaya kematian akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), meskipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tertinggi" (An-Nisa, 4:78)Allah dah tentukan bila tarikhnya, bila masanya, di mana tempatnya kita akan mati. Kenapa perlu lari?
“ …Maka apabila ajal mereka tiba, mereka tidak akan mampu meminta kelewatan walau sesaat, atau mempercepatkannya” (An-Nahl:61)
Hadapi Mati...

“ Maha Suci ALLAH yang menguasi segala kerajaan, dan DIA Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang Menciptakan Mati dan Hidup untuk menguji siapa antara kamu yang terbaik amalannya, dan DIAlah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” Surah Al-Mulk ayat 1-2.
Abul-Laits berkata: "Siapa yang yakin akan mati, maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amal yang salih dan meninggalkan amal kejahatan (dosa), sebab ia tidak mengetahui bilakah datangnya mati itu kepadanya. Sedang Nabi SAW telah menerangkan pada umatnya supaya mereka benar-benar bersiap-siap untuk menghadapinya dan supaya mereka sanggup sabar dan tabah menghadapi penderitaan dunia, sebab penderitaan dunia itu termasuk seksa dunia. Sedang seksa dunia ini jauh lebih ringan dibandingkan dengan seksa akhirat, sedang maut termasuk dari seksa akhirat."
Abu Hamid Allafaf berkata: "Siapa yang sering ingat mati, maka dimuliakan dengan tiga macam: Segera bertaubat, terima terhadap rezeki (tidak tamak) dan tangkas beribadah. Sedang orang yang selalu lupa akan mati, terkena akibat tiga macam: Menunda-nunda taubat, tamak dalam rezeki dan malas beribadat."
Nabi SAW bersabda:
"Orang yang sempurna akal ialah yang selalu mengkoreksi dirinya dan beramal untuk bekal sesudah mati. Sedang orang yang bodoh ialah yang selalu menurutkan hawa nafsunya, dan mengharap keampunan Allah (yakni tanpa amal)."
Hingga kini, saya masih takut mati. Memikirkan nasib di SANA setelah terputus segala ruang dan peluang mencari bekal hidup selepas mati. Semoga kita bertemu husnul khatimah atas redha dan kasih sayang Ilahi.
Sumber:
1. Al-Quran dan terjemahan
2. Tanbihul Ghafilin (Abullaits assamarqandi)
3. Liku-liku Perjalanan ke alam barzakh (Drs.Syahrin Nasution)
4. Hidup Sesudah Mati (Bey Ariffin)
Sama-samalah mengingati mati.
(p/s: sahabat-sahabat digalakkan membaca buku-buku di atas dan buku-buku serta bahan bacaan lain dan mengikuti majlis-majlis ilmu untuk mendapat pengetahuan yang lebih tentang perihal MATI. Semoga takut kita bertambah dengannya dan menggerakkan hati untuk beramal dengan lebih giat menghadapi MATI YANG PASTI.)
.::. Terlalu Letih Untuk Mati - Saifulislam.com
.::. Khutbah Jumaat: Takut Yang Sudah Tercabut Itu - Saifulislam.com
.::. Mati kan senang - Peminggir Kota
.::. Sejenak Perihal Mati - Carefulness
.::. Dan dia benar-benar pergi - Langit Ilahi
.::. Kalaulah Yang Mati Itu Kita - Langit Ilahi
.::.Bilakah Giliran aku? - Cahaya Bisikan Rahsia
.::.Ia Makin Dekat - Strive 4 Mardhatillah
.::. Hidup Sementara, mati tiba-tiba - Mohd Hafizullah Yatim
.::.Mati itu Pasti - Layaran Bahtera Kehidupan
-mengharap redha dan kasih sayang ILAHI.
nota buat diri, 11 Mei 2009, 1.37am.
0 comments:
Post a Comment