Kalaulah itu dunia…
Apr 30th, 2009
Sebahagian orang, telah bertindak melulu, dengan mengklasifikasikan ilmu kepada dua. Ilmu akhirat, dan ilmu dunia. Kita dapat lihat perkara ini dalam pembelajaran agama dan pembelajaran sains. Ada golongan yang bertindak memisahkan kedua aliran ini kemudian menyatakan bahawa:
“ Aha, yang ambil sains ni, golongan kejar dunia. Yang ambil agama ini golongan yang kejar akhirat”
Saya terfikir perkara ini, selepas membaca komen pelawat dalam post yang bertajuk ‘Iman Yang Mandul’ dan juga komen seorang pelawat dalam post yang bertajuk ‘ Saya Hendak Menyumbang Untuk Islam, bagaimana?’.
Semua ini, membawa saya mengingati satu kenangan yang bermakna sebenarnya.
Pada suatu hari, saya dan kawan-kawan sedang duduk dengan ayah angkat kami, namanya Rosdi bin Baharom. Kami semua menggelarnya Pakcik Rosdi. Dia seorang yang amat rapat dengan kami, dan penyayang. Kelebihan Pakcik Rosdi ini adalah, dia suka berkongsi banyak perkara bermakna dengan kami.
Hari itu, dia bercerita satu perkara yang menarik. Dia cerita kisah isterinya, dengan pelajar yang malas di dalam kelas.
Isteri Pakcik Rosdi, namanya Maimunah binti Hashim. Kami, memanggilnya Cikgu Mai. Hal ini kerana, Cikgu Mai adalah guru Fizik kami, merangkap guru Matematik Tambahan. Cikgu Mai, kalau dalam senarai guru-guru, adalah yang paling disayangi pelajar. Amat baik, dan tidak pernah bias kepada pelajar. Tidak pernah mengklasifikasikan pelajarnya, dan tidak pernah pula merendahkan pelajar yang lemah, mahupun menyisihkan pelajar bermasalah dengan peraturan sekolah.
Pakcik Rosdi cerita,
“ Satu hari, ada tiga orang pelajar, tidak buat kerja yang isteri ana bagi. Jadi, isteri ana tanya, kenapa tak buat kerja? Antum rasa, mereka jawab apa?”
Kami geleng kepala tak tahu.
“ Mereka jawab, ‘alah cikgu, ini semua dunia’”
Saya, sebelum Pakcik Rosdi meneruskan ceritanya, sudah tidak senang dengan sikap tiga orang pelajar itu. Sikap sebegini, sebenarnya memburukkan imej pelajar yang belajar di sekolah agama sebenarnya. Kemudian, Pakcik Rosdi menyambung,
“ enta tahu apa jadi dengan isteri ana?”
Kami dapat agak, sebab kami kenal sungguh dengan Cikgu Mai, tapi kami biar Pakcik Rosdi meneruskan ceritanya.
“ Isteri ana menangis. Lepas itu, isteri ana kata, ‘ Kalau ini semua dunia, cikgu tak susah-susah nak mengajar antum’ ”
Walaupun sebenarnya, tiadalah kata-kata itu dilontarkan kepada saya, secara jujurnya, kalbu saya turut terasa seperti dicucuk-cucuk dengan kata-kata Cikgu Mai itu.
“ Kalau semua ini(belajar fizik, add math) dunia, cikgu tak susah-susah nak mengajar antum”
Siapa tak kenal dengan Cikgu Mai kalau dari pelajar aliran Sains? Dia adalah guru yang bersungguh-sungguh, penyayang, lemah lembut. Dia ada penyakit migrain dan sering sakit. Tapi dia sering gagahi dirinya untuk datang ke sekolah mengajar kami. Dia sering memperbaharui notanya, dan sering juga memberikan ilmu tambahan kepada kami. Kalau kami tidur di dalam kelas, dia tidak pernah marah. Saya pernah kelihatan letih dalam kelasnya, kemudian, dia bertanya kepada saya,
“ Hilal, maafkan cikgu ya. Mungkin Cikgu ajar ni tak seronok, buat enta letih”
MasyaALLAH, Cikgu Mai yang minta maaf. Siapa yang hendak buat salah dengan dia? Saya pantas minta maaf kembali. Tidak sepatutnya saya buat muka letih sedemikian di dalam kelas.
Itulah dia Cikgu Mai. Untuk apa dia bersusah payah kalau semua itu(Fizik, Add Math) adalah dunia? Buat apa dia gagahi dirinya, melawan sakit dan migrain jika semua itu dunia semata-mata?
Hakikatnya, ilmu itu adalah hak milik ALLAH. Kita digesa untuk memantapkan diri kita dengan ilmu, untuk mengembalikan kegemilangan ISLAM. Tiada satu kaum pun, yang mampu menjadi gemilang, tanpa kekuatan ilmu. Sebab itulah banyak hadith Rasulullah SAW menyatakan gesaan untuk menuntut ilmu.
“ Menuntut ilmu itu adalah fardhu bagi setiap muslim” Al-hadith.
“ Barangsiapa yang merintis satu jalan bagi menuntut ilmu, maka ALLAH akan permudahkan jalannya untuk ke syurga” Al-Hadith.
“ Kebijaksanaan itu adalah milik orang mu’min yang telah tercicirkan, maka jika kamu jumpainya di mana-mana, kutiplah” Al-Hadith.
ALLAH SWT berfirman,
“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat” Al-Mujadalah ayat 11.
Jadi, apakah benar ilmu sains, ilmu arkitek, ilmu sukan, ilmu seni lukis, ilmu persenjataan, dan sebagainya adalah ilmu dunia semata-mata? Hakikatnya, kita perlu mengetahui juga ilmu-ilmu itu untuk membangunkan ummah.
Kata orang inggeris: “ Knowledge is power”
Kata-kata Cikgu Mai itu, walaupun bukan ditujukan kepada saya, tetap akan saya sematkan di dalam hati sehingga bila-bila.
Kata-kata yang baik, untuk diingat-ingat ketika muhasabah diri berkenaan usaha dalam menuntut ilmu hari ini. Lebih-lebih lagi, saya menuntut ilmu usuluddin, yang sebahagian manusia kata – ilmu akhirat -.
Moga, perkongsian ini ada manfaatnya.
Artikel di atas adalah perkongsian dari Saudara Hilal Asyraf. Klik sini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment