LUPA I
“Nampak tak speck mata (cermin mata) mak?” mak bertanya kepada anak-anaknya..
“Emm, tak. Cuba call (telefon) speck mak tu”, saya bergurau dengan mak. Gurauan yang sama pernah dibuat pada teman sebilik.
(Berhadapan dengan situasi sebegini, kadang-kadang terfikir nak cipta barangan yang boleh dihubungi/ berbunyi supaya boleh dikesan apabila hilang atau lupa di mana letaknya. Sekadar angan-angan.)
LUPA II
Saya dan adik merancang untuk berperantauan buat beberapa hari di kota raya. Mak, abah dan mak cik bekalkan kami dengan wang untuk perjalanan. Saya simpan duit yang mak bagi lebih di tempat yang berlainan, supaya tidak diketahui adik dan untuk tujuan keselamatan. Duit itu telah saya niatkan hanya akan diguna untuk kecemasan.
Malam itu sebelum bertolak, saya mencari ‘duit kecemasan’ itu. Di mana saya letakkannya? Lupa. Baru saja duit itu saya terima. Puas saya berfikir, tetap tak ingat. Mengenangkan waktu keretapi bertolak makin menghampiri dan mak yang penat menunggu, saya masuk ke dalam kereta tanpanya. Dalam kereta setelah beberapa meter perjalanan, baru teringat bahawa duit itu saya masukkan dalam poket seluar. Seluar itu tak dibawa. “Emm, tak pa lah. Mungkin Allah nak suruh aku berjimat lagi”, pujuk hati.
LUPA III
“Pukul berapa sekarang ni ea?” detik hati.
Saya pun menarik zip beg untuk mengeluarkan ‘jam’ (telefon bimbit). Selepas tengok seketika, saya masukkan semula jam itu ke dalam beg. Tapi pelik, saya masih tak tahu jam pukul berapa.
“Apa yang aku buat tadi? Aku nak tengok jam lah..” Rupa-rupanya, saya sekadar tengok jam tanpa memproses apa-apa dalam otak. Angkara lupa nak buat apa ketika jam telah di tangan.
(Situasi ini banyak kali berlaku. Saya pernah menceritakan perkara ini pada adik, rupa-rupanya dia juga pernah melalui situasi yang sama. Entah ini genetik keluarga atau tanda nyanyuk di usia muda atau memang kita semua serupa.)
LUPA IV
Pagi itu saya baca satu buku. Antara isinya ialah nasihat supaya tidak banyak bercakap. Sunnah Nabi SAW. Saya termotivasi untuk lebih banyak diam dari bercakap. Berkesan beberapa jam. Tepat pukul 10 pagi, saya buka TV, nak tengok CSI. Lepas itu, saya makin banyak bercakap. Mungkin terlupa akan azam untuk banyakkan diam dari bercakap perkara tidak berfaedah. Saya gagal sekali lagi.
(Mungkin benar kata seorang sahabat saya ketika di pusat asasi, “Bila kita dah start buat dosa, kita akan buat lebih banyak dosa.” Dalam konteks ini, mungkin saya boleh ubah kata-kata itu menjadi; “Bila kita dah start buat benda tak berapa baik, kita akan lebih banyak buat benda tak baik.” Oleh itu, perbanyakkanlah buat kebaikan. Semoga satu kebaikan di awal pagi melahirkan lebih banyak kebaikan hingga ke penghujung hari dengan izin Allah SWT.)
“Tiada kebaikan pada kebaikan dari bisikan-bisikan mereka kecuali orang yang menyuruh dengan sadaqah atau kebaikan atau perdamaian antara manusia.” (An-Nisa’: 114)
Dari Abu Hurairah R.A katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya.” (HR at-Tirmizi)
Rasulullah SAW bersabda: “Tiap-tiap perkataan anak Adam adalah bencana atasnya, tidak baginya (iaitu tidak ada yang bermanfaat baginya); kecuali menyuruh dengan kebaikan dan melarang dari kejahatan dan ingat kepada Allah ‘Azza wajalla”.
Dari Abu Hurairah R.A katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia muliakan jirannya. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia muliakan tetamunya.” (HR Bukhari dan Muslim)
LUPA V
“Hmm..Nyam nyam sedapnya”…
Telefon berdering. Satu suara kedengaran dari telefon bimbit, “Weh, hampa kat mana tu?”
“Hampa kat kecewa. Kami kat McDonald. Makan burger. Awat?”
“Berapa kali aku nak cakap? Boikot McD la.”
“Oh, ye ke? Lupa la.”
(Lupa atau sengaja buat-buat lupa?)
“….Kamu tidak berdosa dalam apa yang kamu tersalah membuatnya, tetapi apa yang sengaja oleh hatimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab,33:5)
“Tuhan kami, janganlah Engkau seksa kami jika kami lupa atau kami tersalah.” (Al-Baqarah,2: 286)
Situasi-situasi ini ada yang saya alami sendiri, ada yang rekaan semata (tak mustahil terjadi di luar sana).
Walau apa pun bentuk situasi ‘lupa’ kita, diharap ada sesuatu tindakan yang dilakukan bagi mengatasinya. Dan ingatlah, ada satu perkara yang SERING dilupa; mati yang pasti.
{Abu Darda’ atau Salman al-Farisi atau Abu Dzar R.A berkata:
Tiga macam mengagumkan aku sehingga aku tertawa, dan tiga yang menyedihkan aku sehingga aku menangis.
Adapun yang mentertawakan:
1. Orang yang panjang angan-angan hidup, padahal ia dikejar maut, dan sama sekali tidak memikirkan akan mati.
2. Orang yang lupa terhadap maut padahal maut tidak lupa padanya.
3. Orang yang tertawa padahal ia belum mengetahui apakah Allah redha padanya atau murka.
Adapun yang menangiskan aku:
1. Berpisah dengan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan kawannya.
2. Memikirkan dahsyatnya maut bila tiba saatnya.
3. Memikirkan kelak bila berhadapan dengan Allah, akan diperintahkan ke mana aku ini, apakah ke syurga atau ke neraka?
Ibn Mas’ud RA berkata: Nabi SAW ditanya:
“Siapakah mukmin yang utama?”
Jawab Nabi, “Yang terbaik budi akhlaknya”
“Dan mukmin manakah yang terkaya?”
Jawab Nabi, “Yang banyak ingat mati, dan baik persediaannya.” }
(Tanbihul Ghafilin – Abullaits as-Samarqandi)
Fikir-fikirkan bersama… Wallahua’lam.
-najaf_jb@yahoo.com
6 Mei 2009, 12.52am
0 comments:
Post a Comment